Jemaah tidak gentar serangan bom Israel bersolat di atas runtuhan masjid GAZA:
Serangan udara bertali arus yang dilancarkan tentera Israel langsung tidak menakutkan penduduk Islam Palestin yang bergegas ke masjid sebaik mendengar azan dilaungkan untuk bersolat jemaah.
Walaupun sukar mendengar azan di tengah kebisingan pesawat tempur rejim Zionis yang berlegar, orang ramai membanjiri masjid di seluruh kawasan penempatan Sheikh Radwan di barat Gaza.
Dalam cuma beberapa minit, mereka bercampur dengan jemaah lain yang tidak gentar dengan pengeboman Israel. “Sebaik mendengar azan, penduduk segera datang. Kami bersolat di atas runtuhan masjid ini,” kata imam masjid di kawasan penempatan itu.
Seperti yang lain, masjid Al-Taqwa hampir musnah selepas menjadi sasaran tentera Yahudi. Lebih 50 masjid dimusnahkan oleh Israel dalam serangan ke atas wilayah berpenduduk padat itu.
Serangan paling buruk ialah ke atas masjid Ibrahim Al-Maqadma ketika waktu solat, menyebabkan 16 jemaah gugur dan ramai lagi cedera. Namun di seluruh Gaza, masjid yang dibom tetap berfungsi lima kali sehari.
“Pada hari serangan tentera rejim memusnahkan masjid, kami ketakutan tetapi mendengar laungan azan pagi berikutnya, semangat kami pulih kembali. “Masjid akan tetap penuh tidak kira apa yang berlaku. Kami tidak akan membenarkan penceroboh mengosongkan ia,” kata imam masjid Kholafa Rashedeen di utara Gaza, Awad Al-Sha`er.
Seperti ramai jirannya, Abu Anas Al-Zaharna, berani mengharungi peluru tentera Israel setiap hari untuk ke masjid. “Tinggal di rumah bukan jaminan nyawa akan selamat. Jika sudah sampai masanya, kita tetap akan mati,” katanya.
Masjid yang dibom mencabar mesin tentera Israel bukan hanya dengan menghimpunkan jemaah tetapi juga dengan membantu menyembuhkan kesakitan yang dirasai penduduk. “Sejak perang bermula, masjid semakin tekad membantu penduduk,” kata imam masjid Al-Bukhari, Mohammed Ashour.
Seperti masjid lain di wilayah itu, Ashour mengetuai masjidnya melancarkan kempen mendekati keluarga yang memerlukan. Sukarelawan melawat rumah di kawasan penempatan untuk menawarkan makanan dan minuman kepada keluarga yang kesukaran mendapatkan bekalan dalam suasana keperitan itu. - Agensi
0 comments:
Post a Comment